Saturday, December 11, 2010

Adaptasi Fisiologi da Morfologi

Berikan huraian kepada setiap yang berikut berdasarkan contoh kes yang sesuai. Adaptasi fisiologi, morfologi dan tingkah laku.

            Adaptasi fisiologi, morfologi, dan tingkah laku ini adalah merupakan satu cara dimana haiwan dan tumbuhan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Punca daripada masalah ini disebabkan oleh ekosistem haiwan dan tumbuhan itu terganggu dan juga disebabkan oleh perubahan dari segi suhu secara semula jadi. Antara jenis gangguan termasuklah kebakaran, banjir, angin atau ribut dan juga aktiviti manusia.
            Adaptasi memberi maksud penyesuaian diri terhadap tekanan persekitaran untuk membolehkan sesuatu organisma itu akan terus hidup. Terdapat tiga jenis adaptasi iaitu adaptasi morfologi, adaptasi fisiologi dan adaptasi tingkah laku. Adaptasi morfologi ini merujuk kepada bentuk fizikal haiwan dan tumbuhan, manakala adaptasi fisiologi pula merujuk kepada fungsi anggota fizikal atau organ organisma tersebut. Manakala adaptasi tingkah laku pula merujuk kepada perubahan tingkah laku organisma tersebut.
            Adaptasi morfologi atau merupakan penyesuaian bentuk tubuh. Bagi haiwan yang berada dikawasan panas, haiwan tersebut perlu menyesuaikan diri untuk mengelak daripada kenaikan suhu badan. Untuk itu, ia perlu beradaptasi untuk menyingkirkan haba badan yang berlebihan. Dalam menyesuaikan diri dikawasan panas ini haiwan biasanya menjalankan adaptasi melalui penyesuaian saiz badan. Sebagai contoh, kucing mempunyai saiz yang kecil supaya nisbah luas permukaan kepada isi padu adalah kecil. Selain daripada itu, jika haiwan seperti gajah ia memerlukan jumlah luas permukaan dengan kulit yang berkedut dan cuping yang besar. Ini membolehkan gajah ini dapat menyesuaikan diri melalui suhu persekitaran dengan mudah.
Tenggiling mengadaptasi melalui muncungnya.
Menggunkan lidah yang begetah untuk menagkap serangga.
            Penyesuaian bentuk fizikal haiwan yang lain adalah seperti mempunyai gigi-gigi yang khusus. Gigi haiwan karnivor seperti harimau beradaptasi menjadi empat gigi taring besar dan runcing bagi tujuan menangkap mangsa, serta gigi geraham dengan hujung pemotong yang tajam untuk mencabik mangsanya. Haiwan seperti tenggiling pula beradaptasi melalui muncungnya. Haiwan ini mempunyai muncung yang panjang dengan hujung mulutnya kecil tak bergigi dengan lubang berbentuk celah kecil untuk menyedut semut daripada sarangnya. Haiwan ini juga mempunyai lidah yang panjang dan bergetah yang dapat dijulurkan dengan jarak yang jauh bagi menangkap serangga. Selain itu, haiwan yang mempunyai paruh seperti helang. Helang ini memiliki paruh yang kuat dengan rahang atas yang melengkung dan tajam yang mana ia berfungsi untuk mencengkeram mangsanya.
Periuk Kera.
            Dari segi tumbuhan pula adaptasi morfologi ini boleh dilihat melalui tumbuhan pemakan serangga. Biasanya tumbuhan ini memiliki daun yang berbentuk piala dengan permukaan dalam yang licin sehingga dapat mengelincirkan serangga yang hinggap diatasnya dan dijadikan makanannya. Dengan enzim yang dimiliki tumbuhan tersebut, serangga itu akan dilumatkan sehingga tumbuhan itu memperolehi unsur yang diperlukan. Contoh tumbuhan pemakan serangga ini ialah periuk kera.
            Selain daripada itu, boleh dilihat melalui perubahan kelebaran daun. Dikawasan yang tropika daun tumbuhan ini mempunyai saiz yang besar. Tujuannya ialah bagi membolehkan tumbuhan tersebut menampung air dengan banyak serta mudah untuk disejat. Manakala dikawasan seperti gurun pula daun tumbuhannya lebih kecil dan kebanyakannya tumbuhan yang tidak berdaun seperti kaktus dan tumbuhan ini juga mempunyai batang yang dikhaskan untuk menyimpan air. Tujuan utamanya adalah untuk menyimpan air dalam tempoh masa yang lama.
            Adaptasi fisiologi atau penyesuaian fungsi fisiologi fizikal untuk mempertahankan hidupnya. Kucing, apabila haiwan ini berteduh kadar metabolisme badan kucing tersebut akan direndahkan supaya kadar kehilangan air didalam badan berkurangan. Musang juga beradaptasi dengan cara menyemburkan cairan bagi mengelakkan dirinya daripada musuh. Kelenjar bau yang dimiliki oleh musang tersebut membolehkan musuh tidak dapat menghidu bau musang tersebut. Selain daripada itu haiwan seperti sesumpah pula beradaptasi dengan cara menukarkan warna kulit mengikut keadaan persekitarannya bagi tujuan melindungi diri daripada musuh.
            Terdapat juga spesies katak yang mana mampu beradaptasi dengan persekitarannya melalui perubahan warna dan juga ciri-ciri fizikalnya. Sesetengah spesies anurans ini mampu mengubah dirinya seperti daun mati bagi mengelak ancaman daripada musuh. Begitu juga dengan sesetengah spesies ular.
            Adaptasi tingkah laku yang mana melibatkan perubahan tingkah laku. Terdapat beberapa haiwan yang boleh melakukan adaptasi tingkah laku ini. Sebagai contoh, tupai Virginia yang mana tupai tersebut akan berpura-pura mati apabila didekati oleh seekor anjing. Manakala, burung unta pula akan memasukkan kepalanya kedalam tanah apabila haiwan tersebut diancam. Selain daripada itu, migrasi ikan solmon dimana ikan ini hidup di lautan tapi apabila musim mengawan ikan ini akan mencari tempat yang sesuai untuk bertelur. Ikan ini walaupun tinggal di laut tetapi ikan ini akan bertelur di sungai-sungai.
            Dari segi tingkah laku tumbuhan pula, cahaya adalah sumber paling penting dalam menjalankan proses fotosintesis. Terdapat tumbuhan yang tidak mampu untuk bersaing mendapatkan cahaya matahari akan menyebabkan proses pembesaran tumbuhan tersebut mempunyai bentuk fizikal yang melengkung. Hal ini berlaku apabila cahaya matahari hanya terdapat pada satu-satu tempat sahaja kerana dilindungi oleh pokok-pokok yang lebih tinggi dengan tumbuhan tersebut.
            Secara kesimpulannya, proses pengadaptasian yang dilakukan oleh tumbuhan dan haiwan ini disebabkan oleh beberapa faktor. Bagi haiwan proses adaptasi ini kebanyakannya dijalankan untuk menghindarkan diri daripada musuh. Manakala tumbuhan pula disebabkan oleh persaingan yang berlaku dan juga akibat daripada tekanan suhu.

No comments:

Post a Comment